Print

LIMA KAKITANGAN PEJABAT BENDAHARI ANTARA PENERIMA APC 2013

Written by pb on . Posted in Berita

     Kuala Terengganu: Seramai 117 kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2013 pada Majlis Syarahan Tahunan Naib Canselor UniSZA yang diadakan di Dewan Konvesyen Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu. Anugerah yang diadakan setiap tahun itu diberikan secara menyeluruh iaitu kepada anggota kumpulan akademik, kumpulan pengurusan dan profesional serta kumpulan sokongan. Ini termasuk lima orang warga pejabat Bendahari iaitu, Cik Mazliyana Binti Malek, Cik Rozaini Binti Mohd A. Wahid, Puan Ku Mazlina Binti Ku Bahrin, Puan Nor Sakinah Binti Rawi Dan Puan Nor Azura Binti Abd. Aziz.

        Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Yahaya Ibrahim berkata, penganugerahan itu bertujuan menghargai jasa yang dicurahkan kakitangannya sepanjang tempoh perkhidmatan. Beliau berkata, selain anugerah itu, UniSZA turut memberi anugerah Kumpulan Inovatif Kreatif (KIK), kepada dua kumpulan Lucero dan uniQ di atas pencapaian masing-masing. Anugerah Laman Web Terbaik juga diberikan kepada tujuh Pusat Tanggungjawab (PTj) yang memperolehi penarafan lima bintang. Laman web Pejabat Bendahari berjaya meraih tempat kedua daripada 29 PTj yang bertanding.

        "Pada masa yang sama, UniSZA juga memberi penghargaan kepada14  warga UniSZA dalam Anugerah Penerima Imbuhan Penerbitan Berimpak 2013 serta Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Sifar Cuti Sakit kepada wakil KPTj yang telibat,” katanya. Katanya lagi, warga UniSZA perlu membangun budaya tadbir urus cemerlang dan kakitangan cemerlang dalam usaha menjulang kecemerlangan akademiknya.

“Kita perlu memperhebatkan kumpulan professional dengan melihat semula sistem latihan sedia ada agar latihan diberi dapat meningkatkan ilmu dan keupayaan melaksanakan tugas diamanahkan,”katanya.

         Terdahulu, ketika menyampaikan syarahan tahunan yang bertajuk “Membangun Budaya Kecemerlangan”, Prof Dr Yahaya menyatakan hasratnya untuk membawa UniSZA maju setapak agar setanding dengan universiti yang lebih terkemuka di negara ini. Beliau turut berikrar menjadikan UniSZA sebagai universiti bertaraf antarabangsa dengan menyasarkan pertambahan pelajar asing untuk belajar di universiti itu. TAHNIAH SEMUA!